fb fb fb fb fb

Showcase Seri Malaya Hidupkan Kembali Seni Tradisional Melayu

Penonton hadir dengan pakaian tradisional

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Program Showcase Seri Malaya berjaya menyemarakkan semula minat terhadap seni tradisional Melayu menerusi gabungan persembahan ghazal, zapin, joget, inang dan lagu-lagu asli di Mini Auditorium Malaysia Tourism Centre (MaTiC) malam tadi.

Lebih 150 penonton hadir mengenakan pakaian tradisional, bagi menyaksikan gabungan persembahan artis baharu dan berpengalaman yang menghidupkan lagu-lagu klasik seperti Seri Melati, Seri Nandung, dan Sri Seri Alam.

Program anjuran Rojer Kajol Music dengan kerjasama Kementerian Komunikasi, MyCreative Ventures, Persatuan Ghazal Johor Malaysia, ARTease, dan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, bertujuan memartabatkan semula seni tradisional agar terus relevan dan diminati generasi muda.

Peneraju utama persembahan, Rojer Kajol, turut berkongsi minat mendalamnya terhadap lagu-lagu lama dan menyatakan bahawa muzik tradisional adalah nadi kepada perjuangan seninya.

"Saya lebih gemar mendalami lagu-lagu lama dan tradisional. Mungkin saya terlepas perkembangan muzik baharu, tapi inilah minat saya yang membawa saya ke pentas ini hari ini," katanya.

Antara detik paling memukau ialah persembahan duet Rojer bersama Asmidar menerusi Zapin Asmara yang berjaya mencuri tumpuan penonton dan mencetuskan suasana penuh emosi.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN