fb fb fb fb fb

Sentuhan Pan-Gon mula menjadi, skuad Harimau Malaya benam Filipina 2-0 pada aksi persahabatan

SINGAPURA, 24 Mac- Skuad Harimau Malaya memulakan era baharu di bawah ketua jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon dengan positif apabila menewaskan Filipina 2-0 pada aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1, saingan Siri Tiga-Negara FAS di Singapura, malam tadi.

Pada aksi di Stadium Nasional itu, anak buah Pan Gon berjaya menyajikan corak permainan menarik apabila beraksi lebih agresif, melakukan gerakan pantas dan hantaran kemas sepanjang 45 minit pertama ke atas Filipina.

Skuad negara berjaya mendahului seawal minit ketiga hasil rembatan deras Muhammad Akhyar Abdul Rashid sebelum pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) itu meledak gol kedua pada minit ke-24.

Babak kedua menyaksikan Pan Gon membuat lima pertukaran dengan membawa masuk dua pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi selain Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak, Muhamad Nor Azam Abdul Azih dan Muhammad Safawi Rasid dalam usaha menambah jaringan.

Namun percaturan itu gagal menghasilkan sebarang gol dengan percubaan terbaik daripada Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-61 berjaya ditepis keluar penjaga gol Filipina.

Skuad Harimau Malaya yang berada di ranking ke-154 dunia akan berdepan Singapura di venue sama Sabtu ini.


(Aksi Skuad Harimau Malaya menentang Filipina dalam Perlawanan Persahabatan Antarabangsa
Tier 1, saingan Siri Tiga-Negara FAS di Singapura, malam tadi / Foto Facebook FAM)

Media Baharu