fb fb fb fb fb

Sempena lima dekad, Sweet Charity tampil konsert Semalam Di Malaya, 26 Januari depan

Kali terakhir Sweet Charity beraksi dalam konsert di Stadium Merdeka pada 2011.

KUALA LUMPUR, 14 Disember- Selepas kejayaan konsert Sweet Charity yang mendapat sambutan di Johor Bahru dan Singapura , kali ini Datuk Ramli Sarip bakal muncul dengan persembahan berskala mega bagi mengubat kerinduan peminatnya.

Ia menerusi konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity yang bakal berlangsung di ZeppKL pada 26 Januari depan.

Acara yang dijadualkan berlangsung hampir tiga jam itu akan mempamerkan kehebatan vokal, Ramli selaku vokalis kumpulan tersebut bersama Rahman Sarbani (dram), dan turut dianggotai Rosli Mohalim (gitar) dan Ahmad Jaafar (keyboard dan vokalis kedua).

Ramli berkata, lamaran untuk Sweet Charity kembali ke Kuala Lumpur ibarat pucuk dicita ulam mendatang.

“Konsert ini ada nilai sentimental kerana diadakan di Kuala Lumpur selepas kali terakhir kami beraksi di Stadium Merdeka pada 2011.

“Sweet Charity dikenali dengan persembahan langsung, jadi pemilihan lagu yang tepat adalah penting. Selain bernostalgia, jangkakan sebuah persembahan yang segar kerana kami memiliki lagu-lagu yang boleh diolah, dibuat susunan baharu, termasuk antara 15 lagu dalam senarai all-time favourite seperti Batu, Kamelia, Teratai dan Zakiah," katanya.

Apabila ditanya mengenai pilihan nama konsert yang menggunakan kata Malaya, Ramli mempunyai alasan tersendiri, memilih untuk menamakan Konsert Semalam di Malaya.

“Dan kenapa Semalam di Malaya? Judul yang nostalgia, zaman kami di Singapura, merentasi Johor menaiki bas, tanpa perlu pasport sebelum ada pemisahan negara. Banyak kenangan di situ,” katanya.

Konsert Semalam Di Malaya Lima Dekad Sweet Charity merupakan sebuah produksi Rasa Karya, bersama Mewah Event Management sebagai rakan strategik, manakala ilassotickets bagi pengurusan tiket.

ZEHRA BINTI ZAMBRI