(Pihak produksi menggali kubur bagi membolehkan Joe menyanyi di dalamnya)
KUALA LUMPUR, 30 September- Lagu terbaharu Joe Flizzow ‘Satu Malam di Temasek' (SMDT) berjaya mencuri perhatian dunia menerusi video muziknya yang cukup hebat dan memukau.
Video luar biasa SMDT itu menerima pengiktirafan dalam bentuk ‘Anugerah Kehormat’ atau ‘Honorable Mention’ di International Music Video Awards untuk kategori video muzik hip hop terbaik.
Edwin Raj, selaku penerbit eksekutif video muzik tersebut menyatakan bahawa sebagai sebuah syarikat yang menerbitkan video muzik khasnya berkonsep hip hop, ia suatu pengiktirafan yang sangat berharga bukan sahaja di peringkat tempatan tapi juga antarabangsa.
“Kami sangat gembira dengan anugerah khas ini di International Music Video Awards untuk kategori video muzik hip hop terbaik.
“Kami menggali sebuah kubur dan Joe menyanyi di dalam kubur itu untuk video ini, ia memang luar dari kebiasaan. Ia juga lebih artistik dan pesanannya juga sangat subjektif. Kami nampak banyak komen penonton dengan interpretasi masing-masing, dan inilah yang membuat ia menarik” ujar Edwin ketika ditemui di ibu negara.
Misi Anugerah Muzik Video Antarabangsa (IMVA) adalah untuk memperluaskan sempadan pembikinan filem tradisional dengan mencipta simfoni visual yang mengetengahkan muzik sebagai peranan utama.
IMVA adalah platform antarabangsa buat penggiat seni untuk menghasilkan karya dengan gabungan muzik dan filem.
(Kru muzik video 'Satu Malam di Temasek')