JOHOR BAHRU, 6 Oktober- Selepas 10 tahun, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kembali ke Johor dengan persembahan eksklusif ‘A Night to Remember’ di Persada Johor, pada 18 dan 19 November depan.
35 peratus tiket sudah terjual sejak jualan dibuka secara dalam talian pada 4 Oktober lalu.
Persembahan eksklusif itu menyasarkan 5,000 kehadiran penonton tempatan termasuk dari Singapura dan Indonesia.
Lebih 20 lagu hit pelbagai genre bakal dipersembahkan kepada peminat.
“Biasanya dalam persembahan atau konsert saya tidak boleh lari daripada membawakan lagu-lagu hit saya.
Nampak macam berulang-ulang tetapi kita beri sentuhan berbeza, susunan berbeza sebab penontonnya berbeza,” katanya dalam sidang media ‘A Night to Remember’ bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza di Persada Johor, di sini.
(Datuk Seri Siti Nurhaliza)
Turut ditampilkan, penyanyi Aina Abdul dan Khai Bahar.
Sementara itu, menurut Pengurus Besar Persada Johor, David Emir Bareng, ini merupakan permulaan siri konsert ‘A Night To Remember’ yang akan dianjurkan oleh Persada Johor setiap tahun, menampilkan artis-artis berbeza.