fb fb fb fb fb

RTM siar 'Ralat' di TV1 sempena bulan kemerdekaan

(Azrel Ismail)

KUALA LUMPUR, 3 Ogos- Orang ramai dialu-alukan untuk menyaksikan drama Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk 'Ralat' yang disiarkan khas sempena bulan kemerdekaan.

'Ralat' dibintangi pelakon Azrel Ismail, Ika Nabella, Nur Risteena Munim, Riz Amin dan Puteri Rafasya.

"Bukan itu sahaja, drama ini turut dibintangi oleh Luna Liyana, Rahim Kidol, Sharifah Anthasha, Hashim, Ayu Azlina Md Noor dan Ben Ryzlan," menurut RTM dalam kenyataan.

Ia mengisahkan tentang dua sahabat, Zaim dan Afzan yang terlibat kemalangan dengan Zaim terselamat namun parah, manakala Afzan meninggal dunia.

"Isteri Afzan, Iman memutuskan mengambil alih tanggungjawab segala tugas Afzan sebagai pengarah projek.

"Iman pula tanpa sedar selalu terbayangkan Zaim sebagai Afzan. Mereka berdua kemudiannya bernikah. Hani (isteri Zaim) membawa diri untuk mencari ketenangan.

"Zaim tidak lama kemudian dimasukkan ke hospital kerana kritikal pada organ dalamannya. Rupanya arwah Afzan telah mendermakan hatinya pada Zaim ketika mereka terlibat kemalangan," katanya.

Bagi mengetahui penyudah konflik hubungan tiga segi antara Zaim, Iman dan Hani, saksikan 'Ralat' menerusi TV1 pada Sabtu ini, pukul 10.00 malam.

Mereka yang terlepas menyaksikan siarannya, boleh juga menonton menerusi platform RTM Klik, rtmklik.rtm.gov.my.

(Risteena Munim)

Media Baharu