fb fb fb fb fb

Cardi B lempar mikrofon, polis AS gugur siasatan

LOS ANGELES, 4 Ogos- Cardi B tidak akan menghadapi pertuduhan jenayah berhubung insiden lempar mikrofon kepada seorang penontonnya, kata polis di Las Vegas pada Khamis.

Detektif telah memulakan siasatan terhadap bintang "RAP" itu selepas dia bertindak terhadap seorang penonton yang melemparkan sejenis cecair ke arahnya.

Rakaman itu disiarkan di media sosial menunjukkan pelantun lagu "Money" itu berundur ke belakang selepas seseorang cuba menghampirinya dan dengan pantas menyimbah cecair ke arahnya. Dalam klip tersebut, Cardi B terpaksa berhenti seketika, sebelum melemparkan mikrofon ke arah lelaki tersebut.

Bagaimanapun, beberapa video dalam talian menunjukkan mikrofon itu terkena pada penonton lain.

Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas berkata seorang wanita telah menghubungi mereka untuk insiden tersebut dan siasatan dijalankan. Namun, polis menggugurkan insiden itu pada Khamis.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, "selepas semakan menyeluruh kes ini dan dengan perundingan dari Pejabat Peguam Daerah Clark County, kes telah ditutup kerana tidak mempunyai bukti mencukupi."

"Tiada pertuduhan akan difailkan berhubung kes ini."

Artikel berkaitan
Polis siasat kes lempar mikrofon Cardi B
Artis rap Cardi B menang kes kulit album eksplisit


Sementara itu, mikrofon yang dibaling kepada peminat Cardi B dilelong secara dalam talian, sehingga mencecah harga $99,900. TMZ berkata penjual Scott Fisher, bekerja untuk sebuah syarikat yang menyediakan peralatan audio untuk kelab Las Vegas. Premis hiburan itu berkata wang bidaan tersebut akan dibahagikan antara dua badan amal iaitu Projek Wounded Warrior dan Friendship Circle Las Vegas, bagi membantu remaja yang berkeperluan khas.

Beberapa kejadian seperti itu pernah terjadi pada Jun, iaitu seorang lelaki membaling telefon ke arah Bebe Rexha semasa konsertnya di New York dan menyebabkan penyanyi itu terlantar di hospital dan pada bulan yang sama seorang penonton turut membaling beg yang kononnya mengandungi abu mayat di pentas ketika penyanyi Pink membuat persembahan di London.

Sementara itu pada tahun lepas Harry Styles terpaksa menghentikan sementara konsertnya di New York selepas dilempar nuget ayam.

Pada Disember, vokalis Guns N' Roses Axl Rose berjanji untuk tidak melemparkan mikrofonnya ke arah penonton pada penghujung persembahan. Ia berikutan kecederaan yang dialami oleh seorang peminatnya akibat kejadian itu di Australia.- AFP

(Cardi B/AFP)

Media Baharu