IPOH, 1 April- Program Rashid Mencari Juara (RMJ) diteruskan ke negeri Perak.
Program yang diasaskan legenda perseorangan badminton negara, Datuk Rashid Sidek itu dilaksana bagi mencari bakat-bakat muda yang berpotensi untuk digilap sebagai pelapis negara.
Sebagai permulaan, peserta terpilih akan mengikuti latihan sepenuh masa selama tiga bulan di bawah bimbingan Kelab Badminton RS.
"Program pencarian bakat ini untuk pemain-pemain yang tidak berpeluang masuk ke BAM, jadi saya buat program ini untuk berlatih secara sepenuh masa selama tiga bulan di kelab saya.
Saya di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pun ada lebih kurang 13 tahun jadi apa pengalaman yang saya dapat sepanjang saya jadi pemain badminton, sepanjang saya jadi jurulatih akan saya bagi ilmu yang saya ada," katanya selepas Majlis Perasmian Penutupan Sesi Ujibakat RMJ di Akademi Badminton Perak di sini.
(Datuk Rashid Sidek)
Ujibakat RMJ sebelum ini dilakukan di Kuala Lumpur dan akan diperluaskan ke negeri-negeri lain.