fb fb fb fb fb

Tenis Terbuka Miami: Alcaraz mara ke separuh akhir, tewaskan Kecmanovic

FLORIDA, 1 April - Pemain remaja Sepanyol, Carlos Alcaraz bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Miomir Kecmanovic dari Serbia 6-7, 6-3, 7-6 dalam satu pertarungan penuh dramatik pada kejohanan Tenis Terbuka Miami.

Kejayaan itu menyaksikan Alcaraz mara ke pusingan separuh akhir.

Pada aksi suku akhir itu, Kecmanovic terlebih dahulu menang set pertama 7-6 sebelum Alcaraz bangkit mendominasi set kedua 6-3, sekali gus mengheret pertemuan ke set penentuan.

Dalam set tersebut, Alcaraz dan Kecmanovic mempamer aksi menarik dengan saling mendahului mata sehingga ke tie-break.

Tuah bagaimanapun memihak kepada Alcaraz apabila pemain berusia 18 tahun tersebut berjaya melengkapkan kemenangan dengan 7-6.

Di separuh akhir nanti, Alcaraz bakal berdepan juara bertahan, Hubert Hurkacz dalam penentuan ke final.

(FOTO FAIL/ATP TOUR)

Dalam aksi wanita, bintang Jepun, Naomi Osaka turut dipaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum menyingkirkan juara Olimpik, Belinda Bencic, sekali gus mara ke final buat kali pertama di kejohanan ini.

Pada pertemuan itu, Osaka melakukan 18 pukulan aces untuk menang 4-6, 6-3, 6-4, dan mara ke final pertamanya selepas Terbuka Australia pada 2021.

Ini juga kali keempat bekas pemain nombor 1 dunia itu mara ke final Jelajah WTA 1000 dan berpeluang menjulang gelaran ketiga dalam kariernya selepas kejayaan di Indian Wells 2018 dan Terbuka Beijing 2019.

Berada di ranking ke-77 dunia, Osaka akan menentang pemain nombor 1 dunia, Iga Swiatek dari Poland di final.

Media Baharu