fb fb fb fb fb

Piala FA : Melaka United, Kuching City, Perak ke pusingan kedua

(15 pasukan yang mengesahkan tempat di Pusingan Kedua Piala FA 2022)

KUALA LUMPUR, 1 April - Melaka United berpesta gol membelasah pasukan PIB FC, 4-0 dalam saingan tertunda pusingan pertama Piala FA di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka malam tadi.

Norshahrul Idlan Talaha muncul wira dalam perlawanan itu apabila menjaringkan dua gol bagi memberikan keselesaan Melaka United mara ke pusingan kedua.

Pesta gol Melaka United bermula pada minit ke-12 hasil jaringan Emmanuel Oti Essigba meletakkan mereka di depan.

Tersentak dengan jaringan itu, kesilapan demi kesilapan dilakukan PIB FC sehingga menghadiahkan sepakan penalti kepada Melaka United yang kemudiannya diselesaikan Adriano Narcizo pada minit ke-56.

Bersambung babak kedua, Melaka United terus melaksanakan serangan bertali arus sehingga berhasil menjaringkan gol pada minit ke-60 menerusi Norshahrul sebelum dia kemudian mencetak gol kedua buat dirinya dalam perlawanan tersebut pada minit ke-76.

PIB FC ternyata tidak mampu mengejar selepas kedudukan 4-0 kekal berpihak kepada Melaka United sehingga wisel ditiupkan.


(Perak FC 1-0 Kijang Rangers / MFL)

Di Ipoh, Perak FC turut sama melakar kejayaan melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan Kijang Rangers 1-0 dalam aksi di Stadium Perak.

Kedua-dua pasukan ternyata saling tidak mahu mengalah terikat tanpa jaringan sehingga mengheret ke masa tambahan.

Perak kemudian berhasil memecah kebuntuan gol menerusi jaringan tunggal Muhammad Hakimi Mat Isa pada minit ke-101 sekali gus membawa pasukannya mara ke pusingan kedua.


(Kuching City FC 2-0 UiTM FC / MFL)

Sementara itu di Sarawak, Kuching City FC turut berhasil meneruskan kemaraan ke pusingan kedua selepas menundukkan UiTM FC 2-0 dalam aksi di Stadium Negeri.

Dua jaringan masing-masing disumbang Shafizi Iqmal Khirudin pada minit ke-56 dan Alif Hassan pada minit ke-62.

Media Baharu