fb fb fb fb fb

Program MSL 2022 mampu tarik minat masyarakat, jadikan Malaysia negara sukan

(Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyampaikan ucapan sempena pelancaran program Malaysia Sports League (MSL))

SHAH ALAM, 18 Mac - Bagi meningkatkan aktiviti sukan di peringkat komuniti setempat, Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) yakin penganjuran program Malaysia Sports League (MSL) 2022 mampu memupuk minat dan menarik penyertaan rakyat Malaysia pelbagai lapisan umur khususnya dari peringkat akar umbi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata perlaksanaan program ini seiring fokus KBS tahun 2022 dalam memajukan ekonomi negara menerusi pemerkasaan pembangunan industri sukan.

"Ianya bermula serta-merta dari beberapa buah negeri yang dah mula esok tetapi satu program itu, ia mengambil masa beberapa bulan dan akan diadakan pada setiap minggu, jadi ada negeri yang masih belum bersedia untuk memulakannya kemudian, tapi ada negeri-negeri yang akan bermula esok," kata beliau selepas melancarkan program tersebut di Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam, di sini.


(Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika melancarkan program Malaysia Sports League (MSL))

Tambahnya, perlaksanaan MSL mampu melahirkan masyarakat berbudaya sukan serta ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara sukan.

Antara sukan dipertandingkan dalam MSL 2022 ini ialah sepak takraw, bola jaring, badminton, futsal dan bola keranjang.

Jelas Ahmad Faizal, MSL bakal membuka tirai bermula esok dari seluruh negara dan berakhir pada bulan Mei untuk peringkat daerah sebelum disambung semula hingga bulan Ogos bagi peringkat negeri.

Media Baharu