BIRMINGHAM, 18 Mac- Impian beregu wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton All England 2022 disekat gandingan bukan pilihan dari Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong, di Utilita Arena Birmingham, United Kingdom, hari ini.
Pearly-Thinaah, yang menduduki ranking ke-15 dunia, mempamerkan aksi cemerlang pada set pertama untuk mengatasi pasangan ke-64 dunia itu 21-15.
Pertembungan pada set kedua berlangsung sengit dan mendebarkan sebelum beregu kebangsaan itu terpaksa akur dengan kebangkitan pihak lawan 17-21, diikuti aksi longlai pada set penentuan yang menyaksikan mereka mudah ditewaskan 9-21.
Na Eun-Hye Jeong akan membuat perhitungan untuk penentuan ke final dengan pilihan ketujuh dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, pada pusingan separuh akhir, esok.
Gandingan Jepun itu mengejutkan pasangan pilihan ketiga Kim Soyeong-Kong Heeyong dari Korea Selatan 21-10, 21-18.
Malaysia masih mempunyai dua lagi wakil di peringkat suku akhir yang akan turun ke gelanggang malam ini.
Juara bertahan Lee Zii Jia akan bertemu pemain Jepun yang juga pilihan kedua Kento Momota, manakala pasangan beregu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan menentang pilhan kedua dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.