fb fb fb fb fb

Premiere filem “The Wicked: For Good” di Singapura terganggu insiden peminat serbu Ariana Grande

FOTO REUTERS

SINGAPURA, 14 November - Premiere filem The Wicked: For Good di Universal Studios Singapore (USS) pada Khamis terganggu sementara apabila seorang peminat melompat melepasi halangan acara dan menyerbu penyanyi dan pelakon Amerika Syarikat, Ariana Grande.

Insiden berlaku ketika acara karpet kuning berlangsung. Video yang tular di media sosial memaparkan lelaki itu meletakkan tangan di bahu Grande sambil melompat-lompat sebelum dia ditangkap dan dikeluarkan oleh pihak keselamatan. Difahamkan, lelaki berkenaan dibawa keluar dari lokasi dan meninggalkan Sentosa menggunakan kereta api.

Pelakon lain yang hadir termasuk Cynthia Erivo, Jeff Goldblum dan Michelle Yeoh serta pengarah Jon M Chu dilihat terkejut dengan kejadian itu. Erivo dilaporkan segera campur tangan untuk menghalang tindakan lelaki tersebut.

Individu yang menyerbu bintang-bintang itu dikenali sebagai seorang pencipta kandungan dengan nama Pyjama Man. Lelaki itu, yang dilaporkan berasal dari Australia, sebelum ini pernah merakam beberapa video menunjukkan dia menyerbu artis-artis terkenal seperti Katy Perry dan The Weeknd.

Tindakannya sebelum ini turut berlaku di beberapa negara, termasuk India pada 2023 apabila dia memasuki padang di Stadium Narendra Modi, Ahmedabad, semasa perlawanan akhir ICC Men’s Cricket World Cup antara India dan Australia.

Pyjama Man kemudian memuat naik video insiden tersebut di akaun media sosialnya, memaparkan Cynthia Erivo menolak dirinya selepas dia menyerbu Ariana Grande.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE