KUALA LUMPUR, 9 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi sumbangan kepada seniman, Shahrin Salehuddin atau lebih dikenali sebagai Sheqal untuk urusan harian dan perubatannya.
Beliau menerusi catatan Facebooknya memberitahu bahawa sumbangan tersebut disampaikan melalui Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi yang berkesempatan menziarahi Sheqal.
"Dalam pertemuan ini, saudara Farhan turut menyampaikan sumbangan daripada pihak saya bagi membantu urusan harian dan perubatan saudara Sheqal," kata Anwar dalam kenyataan di Facebooknya.
Datuk Seri Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata seniman yang popular menerusi lagu Cinta Nusantara pada era 90-an itu, berkerusi roda kerana serangan strok sebanyak empat kali.
Beliau turut mendoakan Sheqal dikurniakan afiyah serta sentiasa diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga.