KUALA LUMPUR, 3 April- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Jaafar Onn Awang yang telah meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah Serdang pukul 11.30 pagi tadi.
Perdana Menteri dalam satu hantaran di Facebook menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang berbakat dan mempunyai bakat tersendiri.
"Kepada kita yang mengikuti dunia hiburan, pasti terkesan dengan berita ini tatkala allahyarham sentiasa menghiburkan masyarakat dengan bakatnya yang unik dan tersendiri dalam bidang lakonan dan muzik.
"Mendoakan ruhnya diberi keampunan oleh Yang Maha Esa dan urusan keluarganya dipermudah, Insya-Allah," kata hantaran itu.
Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh anak agkatnya Mohamad Hanif Hashim.
Jaafar ditahan di hospital itu sejak kelmarin kerana mengalami pendarahan semasa membuang air besar.
Sebelum ini artis serba boleh itu mengakui mengalami masalah injap jantung yang mengakibatkan kakinya membengkak sehingga perlu menggunakan kerusi roda sejak enam bulan lalu.
Jaafar turut memaklumkan dia perlu menjalani beberapa prosedur rawatan sejak tahun lalu bagi mengetahui keadaan kesihatannya yang semakin merosot.
(Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim)