KUALA LUMPUR, 21 Mei- Keperitan bekas wartawan hiburan, Huzz yang kini sedang menderita kanser usus tahap empat mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, Datuk Seri Anwar memaklumkan, Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi telah menziarahi Huzz atau nama sebenarnya Kamal Huzaini Kamaludin yang terlantar di Hospital Kuala Lumpur.
"Huzz popular ketika era 80an-90an dahulu menerusi penulisan berkaitan dunia artis tanah air. Namun empunya badan atau nama sebenarnya, Kamal Huzaini kini terlantar di Hospital Kuala Lumpur akibat menderita kanser usus tahap empat.
"Selain bertanyakan khabar, Farhan turut memberikan sedikit bantuan dari pihak saya bagi meringankan beban yang ditanggung. Saya amat berharap pemberian ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada saudara Huzz, insya-Allah,"menurut hantaran tersebut.
Datuk Seri Anwar turut berkongsi gambar keadaan terkini Huzz.