fb fb fb fb fb

'Allahyarham Dr. Rosminah sumber inspirasi saya dalam bidang teater' - Fahmi ucap takziah

KUALA LUMPUR, 19 Mei - Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga aktivitis teater tanah air Dr Rosminah Mohd Tahir yang meninggal dunia hari ini.

Fahmi menerusi hantaran X hari ini mengimbau detik ketika bergiat aktif dalam teater suatu ketika dahulu berkata Rosminah, adalah sumber inspirasi kepada dirinya.

Allahyarham berusia 65 tahun juga bekas Ketua Jabatan Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara (ASWARA).

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Takziah buat seluruh ahli keluarga,” katanya.

Berita pemergian Rosminah dikongsikan rakan penggiat seni, seniwati Fauziah Nawi dan penyanyi Bob Yusof masing-masing menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Keramat pada petang Ahad dan difahamkan jenazah akan dibawa pulang ke Muar, Johor malam ini untuk dikebumikan pagi esok.

Selain berkhidmat sebagai tenaga pengajar di ASWARA, Allahyarham juga pernah mengarah beberapa pementasan teater berskala mega, seperti Di Bawah Lindungan Kaabah; Muzikal Tun Mahathir; Muzikal Lantai T Pinkie; Muzikal Ibu Zain; Nyonya; Li Po; Mak Dara Nyonya dan Anugerah.

GRACE AISYAH KEDAYAN