fb fb fb fb fb

Pengadil silap batalkan jaringan Sri Pahang - FAM

KUALA LUMPUR, 8 April- Pengadil perlawanan Liga Super 2022 membabitkan Kedah Darul Aman FC dan Sri Pahang FC telah membuat kesilapan berhubung pembatalan jaringan pasukan pelawat di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Rabu lepas.

Biarpun tidak menerima sebarang surat aduan daripada Sri Pahang, Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Abang Zulkarnain Abang Abdurahman berkata berdasarkan siasatan, penelitian serta analisis menerusi rakaman video oleh Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM mendapati bahawa memang terdapat kesalahan dilakukan oleh pegawai perlawanan itu.

“Jawatankuasa Pengadil FAM seterusnya akan mengambil tindakan tegas termasuk tindakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan terhadap pegawai-pegawai perlawanan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abang Zulkarnain berkata demikian berhubung tindakan awal terhadap beberapa insiden membabitkan pengadil sepanjang hari perlawanan ketiga Liga Super pada Selasa dan Rabu lepas.

Kontroversi melanda perlawanan Kedah dan Sri Pahang itu menyaksikan pengadil Mohd Hasrol Mohd Amir membatalkan dua gol Sri Pahang masing-masing menerusi David Rowley pada minit ke-62 serta Johan Martial pada minit ke-80 kerana didakwa offside selain kekasaran dilakukan.

Dalam pada itu, Abang Zulkarnain berkata tiada kesalahan dilakukan pengadil dalam melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab, ketika pasukan The Red Giants itu bertandang ke Stadium Paroi menentang Negeri Sembilan FC, Selasa lepas.

(Foto fail)

“FAM telah menerima surat aduan daripada Selangor FC pada Rabu, 6 April 2022 dan sudah pun membalas surat berkenaan semalam,” tambahnya.

Sementara itu, Abang Zulkarnain menyatakan laporan daripada penilai pengadil merumuskan bahawa mereka tidak menemui sebarang kesalahan dilakukan pengadil apabila melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Kuala Lumpur City FC, Kenny Pallraj, ketika pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) Rabu lalu.

Katanya, FAM juga tidak menerima sebarang surat aduan daripada juara Piala Malaysia 2021 itu berhubung insiden berkenaan.

Media Baharu