SEREMBAN, 26 Mac - Pelakon dan pelawak, Amran Aman Ramlie atau lebih dikenali Amran Tompel menghembuskan nafas terakhir pada usia 72 tahun hari ini.
Berita kematian Amran disampaikan bekas isterinya, Anas Salmee Syed Mohamad, 53, yang memaklumkan Allahyarham meninggal dunia di rumahnya di Taman Matahari Height Senawang di sini pada pukul 4.43 petang tadi.
Allahyarham meninggal dunia akibat sakit tua, masalah buah pinggang serta dalam tempoh kuarantin akibat COVID-19.
Terdahulu Amran mengalami gejala pelupa selepas terlantar akibat serangan angin ahmar.
(Amran Tompel menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 4.43 petang di kediamannya di Taman Matahari Height Senawang)
Allahyarham yang pernah mewarnai industri lakonan tanah air sekitar 1990-an hingga 2014, sebelum ini pernah beberapa kali diserang angin ahmar.
Allahyarham merupakan saudara kandung kepada dua lagi pelakon tersohor AR Badul dan Adlin Aman Ramlie.