fb fb fb fb fb

Pelakon ternama hidupkan semangat Hari Kebangsaan di RTM

(“Hanya Johari Mengenal Maniam” disiarkan pada 14 Ogos ini di TV2)

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Sepanjang sambutan bulan kebangsaan 2023 ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan tayangan lima telemovie terbaik bersiaran menerusi saluran TV2.

Ia menyenaraikan nama-nama pelakon handalan seperti Eman Manan, Mior Hashim Manap, Mubarak Majid dan Kenji Sawahi.

Plot ceritanya bukan sahaja menambah semangat kecintaan terhadap negara malah telemovie pilihan ini juga menonjolkan semangat muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia Madani yang berbilang kaum dan budaya.

Dimulakan dengan telemovie bertajuk “Hanya Johari Mengenal Maniam” disiarkan pada 14 Ogos ini, pukul 9.00 malam yang membariskan senarai nama pelakon Reza Hasbi, Loganathan, Mubarak Majid dan Kenji Sawahi.

Ia menyorot kisah dua orang pemuda kampung yang akrab dan dibesarkan bersama-sama di sebuah ladang estet.

Mereka menjalani kehidupan bagaikan saudara mara sendiri sehingga dewasa dan merancang mencipta kejayaan juga saling menyokong antara satu sama lain.

Menyusul telemovie “Gergasi” lakonan Afiq Muiz, Risteena Munim, Fad Anuar dan Annie Mosha pada 21 Ogos ini, pukul 9.00 malam.

Kisahnya tentang Ajak, seorang anak muda yang mempunyai sebuah kedai menjahit pakaian. Satu hari dia menerima tempahan untuk menjahit sebuah bendera Malaysia bersaiz besar dan pelbagai cabaran dan dugaan dihadapinya untuk menyiapkan bendera gergasi itu.

Ada apa dengan telemovie bertajuk tentang “Tentang Ogos”? Ikuti siarannya pada 28 Ogos ini, pukul 9.00 malam yang dibintangi pelakon terkenal Eman Manan, Shafie Naswip, dan Hilal Azman.


(Penampilan Eman Manan dalam telemovie bertajuk tentang “Tentang Ogos” yang
disiarkan pada 28 Ogos ini)

Kisahnya tentang watak utama Ismail, seorang bekas tentera masih dibayangi rutin tugasnya masuk hutan memburu komunis yang dianggapnya masih menjadi ancaman negara, sehingga beliau dianggap nyanyuk oleh orang kampung.

Namun kebiasaannya itu akhirnya memberi manfaat kepada penduduk kampung kerana Ismail berjaya membongkar sindiket menyeludup minyak bersubsidi.

Menarik dalam telemovie Tamil “Projek Vittagan” pada 30 Ogos ini, pukul 3.00 petang lakonan BenG, Komalaa, Sugumaran, Prakash, dan Suresh Kanan yang menceritakan tentang matlamat seorang jurulatih olahraga yang mempunyai impian tinggi iaitu, memupuk minat pelajar India untuk menceburi bidang olahraga dan menjadikan mereka sebagai olahraga ternama di negara.

Esoknya dalam kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan iaitu 31 Ogos, pukul 3.00 petang luangkan masa menyaksikan telemovie bertajuk “Pawang Nong” menampilkan pelakon handalan Shahrolnizam Noor, Mior Hashim Manap, Razali Hussain dan Yuz Waisar.


(Salah satu babak dalam telemovie  “Pawang Nong”)

Telemovie khas ini berkongsi tentang watak utama iaitu Haji Nong Taib (Pawang Nong) dan orang-orang Kampung Hulu Cheka, Jerantut, Pahang dalam memerangi pengganas komunis sewaktu era Pra-merdeka dahulu.

Kepada penonton yang terlepas menyaksikan siarannya di TV, anda boleh juga menonton menerusi platform RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my).

Media Baharu