KUALA LUMPUR, 30 November- Setelah lima tahun berpisah, Payung Teduh dan penyanyi asalnya, Mohammad Istiqamah Djamad atau lebih dikenali sebagai Pusakata kini kembali bersatu sebagai sebuah band lengkap.
Kumpulan itu memilih nama Parade Hujan sebagai identiti baharu demi melunaskan rindu para peminatnya.
Pusakata mahu menunaikan impiannya yang tertangguh bersama ahli Payung Teduh dengan semangat baharu.
"Saya ini ibarat anak, ahli-ahli yang lain bagaikan ibu dan bapa. Si anak tidak suka diatur dan mahu menikmati banyak hal.
Setelah berehat sejenak, saya mahu kembali menyatu bersama dan ini menceritakan lebih banyak pengajaran daripada kelmarin yang dialami," katanya ketika ditemui dalam sidang media Konsert Senandung Malam di sini malam tadi.
(Pusakata, dua dari kanan)
Pemain bass, Aziz Kariko turut menganggap ini adalah permulaan yang terbaik bagi band itu menghasilkan karya berimpak tinggi untuk peminat.
"Pada masa hadapan, kami akan mengeluarkan album mini buat semua peminat dan sama-sama nantikan karya terbaharu daripada Parade Hujan," ujarnya.
Mengulas mengenai sambutan peminat di Malaysia terhadap kehadiran ke Konsert Senandung Malam, Parade Hujan bersyukur masih mendapat tempat di negara ini.
"Tahniah buat semua yang terlibat, kami bersyukur sekali dengan sambutan luar biasa peminat Malaysia sehingga tiket habis dijual tidak sampai sejam.
Ini bermakna, meskipun sudah lima tahun kami tidak bersama, karya kami masih berbekas di hati para peminat di sini," kata Pusakata lagi.
Parade Hujan turut disertai Alejandro Saksakame, Ivan Penwyn, Taufiq, dan Pandji Putranda.
Sebelum ini, Pusakata memutuskan untuk bergerak solo dan berpisah dengan Payung Teduh pada 2017.