PAHANG, 9 April - 'Tiada keputusan lain yang dicari kecuali kemenangan'.
Itu misi pasukan Liga Super Sri Pahang apabila turun menentang Petaling Jaya (PJ) City di Stadium Darul Makmur malam ini.
Ketua Jurulatih Sri Pahang Christophe Gamel berkata, kekalahan 0-1 kepada Kedah Darul Aman pada aksi sulung Rabu lalu tidak perlu diratapi sebaliknya mahu anak buahnya fokus dengan bangkit meraih tiga mata sulung pada perlawanan malam ini.
Bagaimanapun Gamel mengakui skuad Tok Gajah tidak seharusnya memandang mudah cabaran PJ City walaupun pasukan kendalian P. Maniam tersebut membariskan sepenuhnya pemain tempatan.
(Pasukan Liga Super Sri Pahang menentang Petaling Jaya (PJ) City di Stadium Darul Makmur malam ini)
Menurutnya, PJ City masih dalam motivasi yang tinggi selepas melakar kemenangan 3-0 ke atas Terengganu FC Rabu lalu, sekali gus melonjak ketangga ketiga liga.
Justeru, pengendali berusia 50 tahun dari Perancis itu mahu pemain Sri Pahang turun dengan mentaliti menyerang seperti aksi terdahulu, selain berusaha keras untuk mencipta kemenangan di hadapan penyokong sendiri malam ini.