KUALA LUMPUR, 9 April- Berpuasa tidak harus menjadi halangan untuk umat Islam bersenam, malah aktiviti itu mampu membuatkan seseorang lebih cergas melakukan ibadah pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Ketua Jabatan Pengajian Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Tengku Fadilah Tengku Kamalden berkata dengan melakukan senaman semasa bulan puasa, tubuh akan lebih peka ketika mengerjakan solat tarawih selain mendapat tidur yang lebih nyenyak.
“Fungsi senaman adalah untuk kita mengekalkan berat badan dan kecergasan. Contohnya, apabila bersenam pada waktu petang, sebelah malamnya kita mudah melakukan ibadah tarawih.
“Jadi, bersenam semasa bulan Ramadan sememangnya indah dan bukan satu halangan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Tengku Fadilah berkata bagi mereka yang bersenam pada bulan puasa, kalori yang diambil perlulah hampir sama dengan ketika bersenam pada hari-hari biasa, selain mengelakkan pengambilan karbohidrat dan minuman bergula secara berlebihan kerana hanya akan membuatkan tubuh lebih lesu.
“Ketika bersenam, seseorang itu akan mengalami proses kecut regang otot, jadi pengambilan protein membantu memperbaiki semula tubuh. Sel darah, otot, dan hormon semuanya dibina melalui protein yang akan membantu tubuh berfungsi dengan baik.
“Bagi mendapatkan sumber protein yang cukup untuk sepanjang hari, kita boleh bersahur dengan hanya dua biji telur rebus sahaja,” katanya.
Sementara itu, pakar nutrisi kesihatan Persatuan Pemakanan Sukan Antarabangsa (ISSN) yang juga jurulatih pemakanan sukan dan kecergasan, Aimran Jamil berkata waktu yang sesuai untuk bersenam pada bulan puasa adalah 30 minit atau sejam, sebelum berbuka.
(Foto fail)
Beliau yang juga bersenam pada bulan puasa bagi mengelakkan tahap kecergasannya merosot, berkata antara senaman yang dilakukan ialah berbasikal, berlari dan ‘bodyweight workout’.
“Intensiti tak perlu berlebihan sangat sampai penat atau tekak kering. Cukup hanya dengan berpeluh, contohnya kalau berlari tetapkan dulu masa selama 30 minit, kemudian naikkan kepada 40 minit.
“Jika ingin menurunkan berat badan ketika bulan puasa ini, tidak perlu terlampau paksa diri untuk bersenam takut menjejaskan diri sendiri. Cukup hanya dengan defisit kalori dan jaga pemakanan, berat badan akan mampu dikurangkan,” katanya.