HOLLYWOOD, 28 Mac- Anugerah Akademi ke-94 (Oscar) 2022 hari ini dicemari insiden panas antara pelakon, Will Smith dan pelawak, Chris Rock.
Insiden malu itu terjadi susulan Chris Rock mempersenda isteri pelakon terkenal itu, Jada Pinkett Smith yang tampil ke majlis berkenaan dengan berkepala botak.
Dia yang sememangnya terkenal dengan lawak sindiran pada ketika itu muncul sebagai penyampai bagi anugerah Dokumentari Terbaik.
"Wow! Will Smith bagi saya penampar," kata Rock selepas ditampar.
Berjalan menuju ke tempat duduknya, Smith memberi amaran kepada Rock supaya tidak mempersenda isterinya.
"Jangan nak sebut-sebut nama isteri aku," kata Smith.
Selepas ditampar, Rock sekali lagi menjelaskan kepada Smith bahawa itu hanyalah lawak mengenai filem GI Jane 2, namun Smith tetap melontarkan amaran sama.
Pinkett yang berada di tempat duduk penonton hanya mampu memberikan ekspresi jelingan 'rolling eyes' sebagai tanda tidak selesa dengan lawak Rock.
(Pelawak, Chris Rock ditampar pelakon terkenal, Will Smith akibat menyindir penampilan isterinya, Jada Pinkett Smith
di majlis Anugerah Akademi ke-94 (Oscar) 2022 hari ini/AFP)
Terdahulu, Smith naik ke pentas dan menampar Rock dengan kuat dan bunyi tamparan itu dapat didengar oleh penonton.
Sebelum ini, Pinkett pernah berkongsi mengenai dirinya yang menghidap penyakit alopecia atau penyakit autoimun yang menyebabkan rambutnya gugur.
Media antarabangsa melaporkan, Rock kemudiannya memohon maaf kepada Smith dan turut dileraikan oleh pelakon, Denzel Washington.
Will Smith yang juga pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik turut menyampaikan ucapan beremosi menyelar tindakan Rock dan memohon maaf atas keterlanjurannya di majlis yang penuh berprestij itu.