HOLLYWOOD, 28 Mac- Anugerah Akademi ke-94 (Oscar) 2022 yang berlangsung hari ini diadakan dalam suasana gilang-gemilang.
Barisan selebriti terkemuka turut hadir memeriahkan acara karpet merah mempamerkan busana cantik sebelum majlis yang cukup berprestij itu bermula.
Sebanyak 13 kategori dipertandingkan, menyaksikan kemunculan muka baharu generasi muda yang turut bersaing dalam anugerah Oscar kali ini.
Filem drama pekak, CODA berjaya merangkul tiga kategori dalam senarai anugerah dipertandingkan iaitu Filem Terbaik, Pelakon Pembantu Terbaik dan Lakon Layar Adaptasi Terbaik.
Troy Kotsur, 54 yang dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Terbaik turut mencatat nama sebagai pelakon cacat pendengaran (pekak) kedua memenangi anugerah itu selepas kali terakhir dimenangi oleh Marlee Matlin pada 1987 manakala bagi kategori wanita dimenangi Ariana DeBose, 31 menerusi filem West Side Story.
(FOTO REUTERS)
Anugerah Pengarah Terbaik pula milik Jane Campion menerusi filem The Power of the Dog, kali ke dua mendapat pencalonan untuk kategori tersebut.
Kali terakhir pada 1994, namun tewas di tahan legenda filem dunia Steven Spielberg.
Bagi kategori Filem Antarabangsa Terbaik pula dimenangi pengarah Jepun, menerusi filem Drive My Car arahan Ryusuke Hamaguchi.
Filem berkenaan menewaskan pencabar lain iaitu Flee (Denmark), The Hand Of Good (Itali), Lunana: A Yak in the Classroom (Bhutan) dan Worst Person in the World (Norway).
Lagu nyanyian Billie Eilish dan lirik oleh FINNEAS, No Time To Die dipilih sebagai Lagu Terbaik Anugerah Oscar 2022.
Lagu yang didendangkan dalam filem popular lakonan Daniel Craig sebagai "James Bond" itu berjaya mencuri perhatian juri.
(FOTO REUTERS)
Filem Summer of Soul dinobatkan sebagai pemenang Dokumentari Terbaik manakala bagi kategori Dokumentari Pendek Terbaik menjadi milik filem The Queen of Basketball.
Anugerah Lakon Layar Terbaik diberikan kepada filem bergenre drama komedi, Belfast arahan Kenneth Branagh dan Filem Animasi Terbaik pula dirangkul kartun animasi berjudul Encanto.
Sementara itu, Filem The Cruella berjaya membawa pulang anugerah Kostum Terbaik manakala The Long Goodbye pula dinobatkan sebegai pemenang Anugerah Filem Pendek.
Filem arahan Reinaldo Marcus Green, King Richard itu berjaya mengangkat nama pelakon terkenal Will Smith sebagai Pelakon Lelaki Terbaik tahun ini manakala kategori wanita disandang Jessica Chastain menerusi filem The Eyes of Tammy Faye.
Filem Michael Showalter itu turut merangkul satu lagi anugerah iaitu kategori Solekan dan Gaya Rambut Terbaik.
(FOTO REUTERS)
Anugerah Akademi ke-94 (Oscar) 2022 tahun ini menutup tirainya dengan filem Dune menyapu bersih enam anugerah menerusi kategori Skor Asal Terbaik, Bunyi Terbaik, Reka Bentuk Pengeluaran Terbaik, Suntingan Filem Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Kesan Visual Terbaik.
Pencapaian itu nyata memberikan semangat buat barisan produksi filem Dune untuk mengeluarkan hasil karya yang membanggakan pada masa akan datang.-AFP