fb fb fb fb fb

Encanto muncul Filem Animasi Terbaik Oscar 2022, juga tahniah anak Malaysia

(Dari kiri ke kanan, Byron Howard, Clark Spencer, Yvett Merino dan Jared Bush,
barisan produksi Encanto Filem Animasi Terbaik Oscars 2022/AFP)

HOLLYWOOD, 28 Mac- Filem animasi Disney, “Encanto” yang dimininati ramai kerana jalan cerita ajaib namun realistik, muncul pemenang untuk kategori Filem Animasi Terbaik Anugerah Oscars 2022.

Encanto berjaya menewaskan pesaing seperti Flee, Luca, The Mitchells vs. The Machines, dan Raya and the Last Dragon, lapor Agensi Berita AFP.

Pengarah, Jared Bush dan Byron Howard bersama Charise Castro Smith selaku penulis naskah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan filem berkenaan.

Mereka turut mengucapkan terima kasih kepada Colombia yang menjadi inspirasi filem animasi dari Disney itu.

Dalam perkembangan sama, The Borneo Post melaporkan anak kelahiran Malaysia, dari Kuching, Sarawak, Alvin Wee, 34, yang turut menyumbang kepada karya Encanto, memenangi trofi Pencapaian Cemerlang Adunan Bunyi pada Anugerah Cinema Audio Society (CAS) 2022 di Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Berkongsi kejayaannya itu, Alvin menyifatkan kemenangan itu adalah hasil kerjasama pasukan Encanto yang cukup baik.

"Ia adalah saingan sangat sengit dan individu bertanding pun dalam kalangan yang terbaik. Jadi, saya tidak mengambilnya mudah,” merujuk pencalonan peserta lain.


(Encanto Filem Animasi Terbaik Oscars 2022)

Perbadanan Kemajuan Filem Nasiona Malaysia (FINAS) menerusi Facebook mengucapkan syabas dan tahniah kepada penerbit, penata bunyi dan bakat kreatif Malaysia yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Alvin Wee atas kemenangan beliau dalam Anugerah Cinema Audio Society (CAS) bagi kategori Penataan Bunyi Terbaik di Holywood sempena hasil kerjanya dalam filem animasi Disney, Encanto.

"Pencapaian ini menjadikannya Alvin Wee sebagai rakyat Malaysia pertama yang dicalonkan dan akhirnya memenangi anugerah tersebut di Hollywood", menurut status tersebut.

Anak kelahiran Kuching Sarawak itu bukan asing lagi di Hollywood kerana beliau terlibat sejak 2014 kerana pernah terlibat dalam banyak lagi filem bertaraf antarabangsa seperti No Time To Die, Mulan, Kingsman, Kung Fu Panda 3, Meg dan kandungan terbitan Netflix iaitu The Defeated.


(Penerbit, penata bunyi, Alvin Wee penerima Anugerah Cinema Audio Society (CAS) 
kategori
Penataan Bunyi Terbaik di Holywood untuk hasil seni dalam filem Encanto/FINAS)

Encanto mengisahkan sebuah keluarga ajaib dikenal dengan nama The Madrigals.

Keluarga itu tinggal dalam satu rumah di sebuah bandar diberi nama Encanto yang terletak di pergunungan Colombia.

Ke semua anggota keluarga itu memiliki kemampuan istimewa atau ajaib, kecuali seorang iaitu antara watak utama yang diangkat dalam filem berkenaan.

Sementara itu, dalam acara gala Oscar pada Ahad, peserta yang hadir bertafakur sebagai sokongan kepada penduduk Ukraine yang kini berdepan pencerobohan tentera Rusia.

“Filem menjadi saluran penting untuk kami mengekspresi nilai kemanusiaan termasuk ketika konflik (Rusia-Ukraine), realitinya jutaan ahli keluarga di Ukraine memerlukan makanan, rawatan perubatan, air bersih dan perkhidmatan kecemasan," kenyataan yang tertulis pada slaid yang ditayangkan ketika malam berprestij untuk meraikan penggiat industri filem antarabangsa itu, lapor AFP.

 

Media Baharu