KUALA LUMPUR, 26 Mac - Penyanyi Nikki Palikat bersyukur kerana dapat merealisasikan impian banyak pihak untuk menyudahkan projek ‘Sudah’ yang lebih dua tahun tergendala.
Nikki menggalas tanggungjawab menyambung hasrat yang tidak sempat disiapkan Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin.
‘Sudah’ lagu yang membawa seribu satu cerita itu begitu indah untuk dihayati, namun sarat dengan permainan emosi.
Sepatutnya ‘Sudah’ yang merupakan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Naim Daniel itu dinyanyikan oleh Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin.
Namun, kematiannnya Ogos tahun lalu sebelum sempat merakamkan lagu ini disambung oleh Nikki, salah satu bintang paling bersinar dan mencuri tumpuan 2022.
Menganggap ia naskhah yang begitu istimewa, Nikki bersyukur kerana dapat memberikan yang terbaik usai proses rakaman sehinggalah pembikinan video muzik (MV) dilangsaikan sepenuhnya bulan lalu.
(Nikki menyambung hasrat Allahyarhamah Siti Sarah Raisuddin)
“Apabila mendapat demo lagu ini, saya cuba sedaya upaya mengkaji apa yang perlu dilakukan untuk memberikan yang terbaik ke dalam lagu ini. Saya mahu menjadikan lagu ini diterima ramai dan memberikan keselesaan juga kepada saya untuk menyanyi.” kata Nikki di sini.
Lagu ‘sudah’ telah dilancarkan secara rasmi disemua platform digital mulai 25 Mac.
MV pula boleh ditonton melalui YouTube Indigital Music mulai 3 petang pada hari sama.