fb fb fb fb fb

Atlet AGNUUM ingin ke Sukan Asia Hangzou

SINTOK, 26 Mac- Impian untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa semestinya dinanti-nantikan bagi setiap atlet.

Begitu juga atlet golf Akademi Golf Nasional Universiti Utara Malaysia (AGNUUM), Muhammad Ikhmal Basry apabila namanya tersenarai dalam pemilihan skuad golf Malaysia oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA).

Ia bagi membawa cabaran Malaysia ke Kejohanan Sukan Asia Ke-19 di Hangzou, China yang akan berlangsung pada 10 hingga 25 September nanti.

Muhammad Ikhmal berkata, pemilihan tersebut menjadi impian yang tidak mungkin akan dilepaskan sesiapa termasuk dirinya.

Menurutnya, sekiranya terpilih untuk mewakili negara dalam temasya sukan kedua terbesar selepas Olimpik itu pasti akan menjadi titik permulaan terbaik bagi kerjayanya sebagai seorang atlet golf dan sudah pasti dia memasang impian untuk menyumbang pingat buat negara.

Untuk itu, beliau akan berkerja lebih keras lagi bagi memastikan nama dalam skuad kebangsaan ke Sukan Asia Ke-19 Hangzhou nanti terjamin.

Beliau turut berharap pemilihan ini akan turut memberi semangat kepada pelatih AGNUUM yang lain untuk terus berusaha gigih dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian untuk berada di puncak dunia.

Sementara itu, Pengarah AGNUUM, Profesor Madya Dr. Azman Yasin berkata, UUM berbangga kerana Muhammad Ikhmal termasuk dalam senarai pemilihan skuad kebangsaan bagi mewakili negara ke pertandingan antarabangsa itu.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada barisan jurulatih, pengurusan AGNUUM, pengurusan tertinggi UUM serta Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi yang terus memberi sokongan dan kepercayaan kepada atlet golf AGNUUM.


(Muhammad Ikhmal Basry, atlet golf Akademi Golf Nasional Universiti Utara Malaysia AGNUUM)

Media Baharu