fb fb fb fb fb

Nazim Azman ikat kontrak bersama Hitech GP untuk musim 2022

KUALA LUMPUR, 2 Mac- Nazim Azman sah menjadi pemandu Malaysia pertama berlumba dalam Formula 3 (F3) untuk musim 2022 selepas menandatangani kontrak dengan pasukan Hitech Grand Prix (Hitech GP).

Pengumuman itu dibuat menerusi laman web Kejohanan F3 Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), semalam.

Nazim 20 tahun, melengkapkan barisan pemandu skuad yang berpengkalan di Silverstone, bersama dua lagi pemandu, Kaylen Frederick dan Isack Hadjar.

Pemandu kelahiran Kuala Lumpur itu dalam kenyataan berkata, dia amat teruja untuk melangkah ke siri FIA F3 bersama Hitech GP.

Menurutnya, pasukan berkenaan yang pernah menjuarai perlumbaan kategori F3 akan memberikan platform terbaik kepadanya untuk bersaing menentang bakat-bakat muda terbaik di dunia.

“Saya tidak sabar untuk berlumba di Bahrain sekali lagi, meninjau beberapa litar paling ikonik di Eropah, sebahagiannya sudah saya kenal dan ada juga yang baharu bagi saya. Saya tidak boleh nafikan bahawa ini adalah satu langkah besar untuk saya, tetapi setelah berlumba dan menang dalam kedua-dua siri Terbuka British dan EuroFormula, saya percaya bahawa saya sudah bersedia untuk cabaran ini,” katanya.

Nazim mempamerkan persembahan hebat sepanjang musim 2021 dalam Kejohanan Terbuka Euroformula, menang sekali dan berjaya menaiki podium sebanyak tujuh kali untuk menduduki tempat keempat keseluruhan.

Beliau memandu pada ketiga-tiga hari ujian pascamusim 2021 di Valencia, Sepanyol, menghabiskan dua hari pertama dengan Jenzer Motorsport dan hari terakhir dengan Charouz Racing System, kali pertama baginya merasai pengalaman memandu jentera F3.

Nazim membuat penampilan sulungnya pada musim 2016-2017 Kejuaraan Formula 4 (F4) Asia Tenggara dan sejak itu, Nazim memperoleh lebih banyak pengalaman dalam perlumbaan F4 Sepanyol, SMP F4, Siri Formula Masters Asia dan F4 Itali.

Beliau menghabiskan dua musim di British Racing Drivers' Club (BRDC) British F3, yang menyaksikan Nazim menduduki tempat ketiga bersama Carlin pada 2020, sebelum beralih ke Euroformula.

Media Baharu