fb fb fb fb fb

Misi pertahan pingat emas SUKMA 2022, pasukan bola sepak Perak akan dibantu

(Exco Belia, Sukan, Komunikasi Dan Multimedia Negeri Perak, Khairul Shahril Mohamed bercakap pada sidang media)

IPOH, 16 Mac - Pasukan bola sepak presiden negeri Perak akan dibantu dari segi persiapan dalam misi mempertahankan ibu segala pingat pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 di Kuala Lumpur.

Ia selepas persefahaman dicapai antara Majlis Sukan Negeri (MSN) dan Perak FC.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi Dan Multimedia Negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata pihaknya mengambil maklum masalah yang dihadapi pasukan tersebut terutama melibatkan isu kebajikan pemain.

"Kerajaan negeri mengambil maklum tentang kesukaran hidup mereka dan kita dah ada jalan walaupun mungkin bukan jalan penyelesaian yang terbaik, tetapi lebih baik daripada keadaan yang sedia ada ni.

"Penginapan, makan minum, kemudahan-kemudahan sedia ada dan juga elaun dan kita juga akan perhalusi dari segi elaun mereka, untuk sekurang kurangnya dapatlah mereka berbelanja, meneruskan kehidupan harian, kita dah setuju, cuma kita nak cuba usahakan kadar yang semaksimum mungkin," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kontrak Lantikan Pengurus Kontinjen Sukma Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.


(Exco Belia, Sukan, Komunikasi Dan Multimedia Negeri Perak, Khairul Shahril Mohamed
pada Majlis Penyerahan Kontrak Lantikan Pengurus Kontinjen Sukma Negeri Perak)

Untuk rekod, Perak merupakan pemenang pingat emas dalam acara bola sepak bagi edisi terdahulu iaitu secara berturut-turut pada tahun 2014, 2016 dan 2018.

Dalam pada itu, Khairul Shahril menaruh keyakinan terhadap kontinjen Perak untuk sekurang-kurangnya mendapatkan 40 pingat emas pada temasya SUKMA 2022 tahun ini, berdasarkan prestasi semasa atlet negeri berkenaan.

Kontinjen Perak juga mensasarkan untuk berada dalam kelompok 3 terbaik.

"Sasaran ini sasaran yang realistik, bukan saja-saja kita cipta, ini berdasarkan kajian kita dalam konteks pencapaian semasa, prestasi semasa atlet, jadi ini pencapaian yang realistik walaupun sebenarnya kalau ikutkan maklum balas yang saya terima lebih daripada itu lagi tapi untuk realistik dengan 21 sukan, tak kurang 40 (pingat emas) yang kita sasarkan untuk ini, (dan) tempat ketiga terbaik," kata beliau.

Antara sukan yang dilihat mampu menghadirkan kilauan emas adalah menerusi sukan menembak, angkat berat, olahraga dan muay thai.

Media Baharu