KUALA LUMPUR, 15 Mac- Kesatuan Olahraga Malaysia, KOM kekal dengan keputusan untuk tidak menyenaraikan juara bertahan acara lompat tinggi, Lee Hup Wei ke Sukan SEA di Vietnam Mei ini.
Presiden KOM, Datuk S.M Muthu berkata, prestasi merosot Hup Wei antara faktor phaknya tidak menyenaraikan Olimpian berkenaan, sebaliknya kesatuan itu memilih untuk membawa juara Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan, Mohamad Eizlan Dahalan.
"Kita ganti untuk lompat tinggi sekarang, Lee Hup Wei pun cedera tak boleh ambil bahagian dalam setahun pun dia tak capai taraf tinggi dan ini kita berikan laluan kepada orang muda ambil bahagian di Sukan Sea, kita beri laluan untuk ambil bahagian dalam," katanya kepada pemberita di Wisma OCM pada Selasa.
Sementara itu, mengenai keputusan Hup Wei untuk bersara, beliau berkata, KOM bersedia untuk menawarkan jawatan jurulatih kepadanya jika mahu terus memberi sumbangan kepada sukan olahraga, namun semuanya terserah kepada atlet itu sendiri.
Dalam pada itu, Datuk S. M Muthu turut mengumumkan sasaran lima pingat emas, menyamai pencapaian ketika edisi 2019 di Filipina.
Beliau berkata, bagi edisi Sukan SEA Hanoi, KOM menghantar 38 atlet dengan 18 merupakan atlet kategori A manakala 20 lagi bagi atlet kategori B.
Sementara itu, memetik laporan Bernama, beliau berkata KOM mengingatkan atlet di bawah naungan badan induk itu supaya mematuhi surat aku janji yang ditandatangani mereka sebelum ini.
(Datuk S. M Muthu turut mengumumkan sasaran lima pingat emas, menyamai pencapaian ketika edisi 2019 di Filipina)
Beliau menegaskan, sebarang ketidakpuasan hati dan permasalahan dengan badan induk olahraga negara itu sepatutnya dibincangkan dan tidak seharusnya dibangkitkan menerusi saluran tidak sah.
"Sebagai contoh, KOM mengambil maklum berhubung permasalahan terjadi membabitkan jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa yang melahirkan kekecewaan mendakwa terlepas peluang beraksi pada kejohanan olahraga dunia.
"Perkara itu dikongsikan Nauraj di media sosial, namun perlu dijelaskan di sini sebenarnya permasalahan ini terjadi atas peraturan dan keputusan ditetapkan Persekutuan Olahraga Dunia (WA), sehingga menyebabkan KOM tidak dapat menghantar nama beliau berikutan beberapa perkara perlu dipenuhi,” katanya kepada pemberita di Wisma OCM pada Selasa.
Nauraj sebelum ini berkongsi kekecewaannya menerusi akaun Instagramnya, selepas tidak dapat menyertai Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia 2022 di Belgrade, Serbia dari 18 hingga 20 Mac ini.
Mengulas lanjut, Muthu berkata, KOM pada 20 Januari lepas mendaftarkan nama Nauraj di bawah kategori ‘Atlet Tidak Layak’ untuk tujuan kelulusan WA, bagi menyertai kejohanan dunia tersebut.
Namun, pada 21 Januari, WA menolak permohonan KOM dengan alasan acara lompat tinggi tidak diperuntukkan untuk kategori ‘Atlet Tidak Layak’.
Bagaimanapun, pada 9 Mac, WA sekali lagi menghantar emel menawarkan Nauraj tempat di kejohanan itu dan memerlukan jawapan persetujuan dalam tempoh 24 jam.
Beliau berkata, perkara teknikal membabitkan urusan visa, pakaian pertandingan, permohonan kewangan serta protokol Covid-19 perlu diselesaikan dalam masa singkat, dan tidak dapat dipenuhi sementara keperluan jawapan segera kepada pihak WA adalah diperlukan.
Muthu berkata, perkara tersebut sebenarnya telah dimaklumkan pengurus besar KOM kepada atlet berusia 30 tahun itu, namun beliau bertindak berkongsikan kekecewaannya di media sosial.
Ditanya apa tindakan boleh dikenakan ke atas Nauraj, Muthu berkata, atlet tersebut mungkin berdepan beberapa tindakan, namun perbincangan akan dijalankan terlebih dahulu.
"KOM sebelum itu akan meminta Nauraj untuk memberikan surat tunjuk sebab, berikutan tindakannya dan segala keputusan akan dibuat nanti,” katanya.