KUALA LUMPUR, 1 Mei - Bakal menerbitkan naskhah filem dengan mengangkat kucing sebagai watak utama, Art Ornament Sdn Bhd menyasarkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi merealisasikan usaha itu.
Ia sebagai mengangkat tema cintakan haiwan yang akan memulakan penggambarannya pada November ini.
Penerbit, Aida Othman, berharap agar filem itu dapat diterima masyarakat dan menggunakan sebahagian kutipan dana untuk menerbitkan sebuah filem aksi yang berkualiti.
"Saya terinspirasi dengan lambakan isu semasa berkaitan penganiayaan terhadap haiwan yang banyak dikongsikan oleh orang ramai di media sosial.
“Saya terpanggil untuk hasilkan sebuah filem berkaitan dengan kucing sambil menjalankan kempen kesedaran mengenai haiwan kesayangan ramai tersebut.
"Bagi golongan pencinta kucing seperti saya, ia merupakan satu perkara yang amat menyedihkan dan menimbulkan kekesalan," katanya.
Sementara itu, rakan kongsi Aida, Iqbal Mazlan, 33, yakin kempen itu mampu meraih perhatian pencinta kucing.
"Saya yakin pencinta kucing tidak keberatan untuk menyumbang derma hanya RM1 setiap seorang.
“Kami nak hasilkan karya yang menyentuh perasaan bagaimana rasanya jika melihat atau mengetahui ada kucing mati didera," katanya yang juga merupakan juara Pilih Kasih 2009.
Filem aksi tersebut turut mendapat kerjasama Anugerah Mahligai Arah Nasib Abadi, Persatuan Suara Haiwan Malaysia, Bigshot Entertainment dan Adverthype.
Art Ornament berpengalaman selama 12 tahun dalam industri perfileman dan pernah menghasilkan 20 buah drama.
Antara yang popular ialah Hati Yang Tersakiti serta Diari Seorang Suami.