KUALA LUMPUR, 29 Oktober- Syarikat produksi, 42nd Pictures Sdn Bhd yang diterajui pasangan suami isteri, Yasu Tanaka dan Bea Tanaka tampil dengan filem berjudul magiK bagi menyelami kelebihan dan keistimewaan golongan masalah pendengaran.
Filem bergenre drama, keluarga dan fantasi itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.
Pengarah, Yasu Tanaka berkata MagiK bukan hanya sekadar mengangkat kisah gadis pekak yang mampu berkomunikasi dengan kelip-kelip, malah menjadi medium untuk penonton mendekati golongan berkenaan.
"Tiada pendengaran, kita tak anggap ia sebagai ketidakupayaan. Ia lebih kepada kurniaan kemahiran istimewa. Saya fikir, yang lebih penting bagi sesebuah cerita adalah drama tentang manusia. Sebab, ini adalah cerita..tentang komunikasi. Sebab itu kami memilih menggunakan huruf besar 'K' dalam tajuk filem ini. 'K' lebih kepada 'komunikasi'. Jadi kami cuba memaparkan kisah hari-hari yang dilalui orang ramai," katanya.
Bagi menjayakan filem itu, Tanaka berterima kasih kepada bintang utamanya, Qisya yang berjaya menghidupkan watak gadis pekak dengan baik.
"Alhamdulilah membawa watak gadis pekak ni, agak senang sebab tidak perlu hafal skrip, selain itu pengarah banyak membantu , 'Mommy ' (Amanda Misbun) pun banyak membantu juga untuk menghayati watak dan saya pun gembira sebab dapat belajar bahasa yang baru iaitu bahasa isyarat," kata Qisha.
Bagi Beto pula, peluang beraksi dalam MagiK disifatkan sebagai sumbangan kecilnya dalam mendidik masyarakat untuk menghargai dan mendalami insan istimewa.
"Apa yang saya lakukan adalah sumbangan saya kepada komuniti istimewa yang cukup kurang dipaparkan di layar perak jadi ini antara sumbangan kecil saya dan mudah-mudahan boleh mendidik khalayak tentang apa yang komuniti ini rasa, dilayan di luar sana, jadi nak kongsi bahawa komunikasi ini tiada halangan sebenarnya kalau kita betul-betul tahu," katanya.
Sebelum ini, tayangan khas magiK sudah diadakan di beberapa lokasi terpilih di seluruh Malaysia selama dua bulan pada September dan Oktober lalu, sebelum ditayangkan di pawagam bermula esok.
MagiK memaparkan Kit, gadis pekak berusia 7 tahun yang tinggal di sebuah perkampungan yang terkenal dengan kelip-kelip.
Ibu bapanya bergelut dengan masalah kewangan kerana bapanya hanya bekerja sebagai pendayung yang membawa pelancong melihat kelip-kelip.
Ibunya mahu Kit belajar bahasa isyarat dan pergi ke sekolah, namun, Kit tidak berani berkomunikasi dengan orang ramai kerana lebih cenderung untuk hidup dalam dunia yang dikelilingi alam semula jadi.
Namun, semuanya mula berubah apabila Kit bertemu dengan kelip-kelip yang seolah-olah berkomunikasi dengannya berkelip dan terbang dengan cara tertentu.