fb fb fb fb fb

Liga Super: KL City tumpaskan Melaka United, 2-0

KUALA LUMPUR, 10 April- Juara Piala Malaysia musim lalu, KL City berjaya menamatkan badi tiga perlawanan tanpa kemenangan selepas menumpaskan Melaka United 2-0 dalam saingan Liga Super malam tadi.

Nasib berbeza pula dialami Melaka United kendalian Risto Vidakovic yang terus kempunan mencatat kemenangan untuk terus menghuni kelompok bawahan liga.

Aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur menyaksikan KL City tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan menerusi Paulo Josue pada minit ke-3.

Skuad 'The City Boys' kendalian Bojan Hodak kemudian terus garang melancarkan beberapa serangan berbahaya ke gawang Melaka United namun gagal untuk menambah jaringan.

Gol kedua KL City akhirnya hadir pada minit ke-29, sekali lagi menerusi Paulo Josue yang bijak membaca hantaran J Partiban.

Tiada tambahan dapat dihasilkan pada babak kedua menyaksikan KL City selesa membawa pulang tiga mata, sementara Melaka United pulang hampa.

Kemenangan ini membolehkan KL City menghuni tangga keenam liga memungut empat mata hasil daripada empat perlawanan, manakala Melaka United tercicir ke tangga ke-10 liga, cuma mengumpul satu mata.


(Aksi Kuala Lumpur City  ketika menentang Melaka United di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam tadi/ FB KL City)

Media Baharu