KUALA LUMPUR, 5 April- Selepas hampir sebulan berhenti rehat untuk memberi laluan kepada kalendar antarabangsa, saingan Liga Super akhirnya kembali bersambung hari ini.
Selain diadakan pada bulan Ramadan, aksi malam ini turut menjadi lebih istimewa apabila ia bakal dilangsungkan dengan SOP baharu susulan fasa peralihan ke endemik.
Penyokong dibenar makan dan minum di dalam stadium serta tiada had kapasiti kehadiran penonton.
Bagaimanapun ia masih tertakluk kepada penjarakan fizikal yang munasabah dengan memakai pelitup muka.
Penyokong kanak-kanak bawah umur 12 tahun juga dibenarkan memasuki stadium dengan syarat ditemani ibu bapa atau penjaga yang telah melengkapkan vaksinasi.
Pengambilan suhu badan di pintu masuk juga tidak diwajibkan, selain tandas dan surau dibenarkan beroperasi sepanjang perlawanan dengan kawalan.
Tiga perlawanan Liga Super akan berlangsung dengan pertemuan juara Liga Premier musim lalu, Negeri Sembilan FC menentang Selangor FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi mencuri perhatian.
(Negeri Sembilan FC menentang Selangor FC 9.30 malam ini)
Dua aksi lagi membabitkan Melaka United yang menanti kunjungan Sabah di Stadium Hang Jebat, manakala Sarawak United berdepan Penang di Stadium Negeri, Kuching.