ORLEANS, 4 April - Harapan beregu muda lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri untuk merangkul kejuaraan sulung mereka diKejohanan Masters Orleans di Perancis tidak kesampaian.
Ini kerana pasangan tersebut yang layak ke final semalam, terpaksa menarik diri selepas Muhammad Haikal didapati positif COVID-19.
Penarikan diri pasangan yang digelar 'Patatimo Boys' itu sekali gus memberi kemenangan percuma kepada lawan mereka dari Belanda, Ruben Jille -Ties Van Der Lecq.
(Haikal ditemubual RTM)
"Kecewa tu ada, sebab dah sampai final tu yang buat kecewa sedikit. Tetapi benda (perkara) ini saya pun redha apa yang jadi. Tambah-tambah lagi ni bulan puasa kan, jadi mungkin ada hikmah nak bagi dekat perlawanan akan datang yang lagi besar kan," kata Pemain Beregu Muda Negara, Mohd Haikal Nazri.
Wan Arif yang berasal dari Terengganu sementara Muhammad Haikal dari Kelantan sebelum ini melangkah ke final selepas menumpaskan gandingan tuan rumah Eloi Adam (Eloa)-Julien Maio 21-18, 21-16, diseparuh akhir.
Bukan itu sahaja, beregu ke-103 dunia itu turut melakukan kejutan dikejohanan tersebut selepas menewaskan satu lagi pasangan tuan rumah, Christo Popov-Toma Junior yang menduduki ranking ke-30 dunia dipusingan pembukaan.