fb fb fb fb fb

Liga Super 2022: Penang FC, Melaka United kongsi mata

GEORGE TOWN, 9 Mac- Harapan Penang FC untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri pada aksi kedua Liga Super tidak kesampaian apabila diikat pelawat, Melaka United FC, 1-1 dalam saingan yang berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, sebentar tadi.

Walaupun Penang FC menguasai babak pertama dan berjaya merobek gawang Melaka United, namun permainan tidak konsisten menyebabkan pasukan tuan rumah hanya seri1-1 dengan Melaka United.

Skuad Harimau Kumbang berada di depan menerusi jaringan Daniel Ashraf yang berjaya mengelirukan pertahanan lawan pada minit ke-27.

Pelawat yang turun dalam misi memburu kemenangan pertama menampilkan beberapa gerakan bahaya menerusi gandingan Ifedayo, Sony Norde dan Adriano namun gagal menghasilkan jaringan.

Tekanan demi tekanan kepada pasukan tuan rumah membolehkan Melaka United menyamakan kedudukan menerusi jaringan sendiri kapten Penang FC, Latiff Suhaimi ketika cuba mengeluarkan bola dari sepakan penjuru pada minit ke-40.


(Pemain Pulau Pinang Rafael Vitor Santos De Freitas (kiri) ketika beraksi pada perlawanan Liga Super 2022 menentang pasukan Melaka United di Stadium Bandaraya / FOTO BERNAMA)

Babak kedua menyaksikan pelawat lebih banyak menguasai perlawanan bagaimanapun kedua-dua pasukan yang melakukan beberapa percubaan ke arah gol gagal menerjah jaring dengan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Bagi pengendali Melaka United FC, Risto Vidokovic, terlalu awal untuk meramal corak permainan anak buahnya.

Walaupun berjaya mengutip satu mata, Risto menjelaskan ramai pemain hanya menyertai latihan dalam masa 10 hari dan ia akan mengambil masa untuk mendapatkan keserasian utama dalam masa terdekat.


(Jurulatih Melaka United FC, Risto Vidokovic)

Media Baharu