fb fb fb fb fb

584 atlet, 199 pegawai akan sertai Sukan SEA Hanoi

(Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM Kali Ke-4 Sesi 2021/2025) 

KUALA LUMPUR, 8 Mac - Seramai 584 orang atlet dan 199 orang pegawai akan menyertai Sukan SEA Hanoi yang akan berlangsung pada 12 hingga 23 Mei ini.

Namun senarai itu tidak termasuk atlet sukan olahraga, e-sukan dan mendayung yang akan diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum 12 Mac ini.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata jumlah tersebut terbahagi kepada 226 atlet Kategori A dan 358 Kategori B, Manakala 98 pegawai Kategori A dan 101 Kategori B.

Mesyuarat juga telah meluluskan rayuan kemasukan atlet Kategori B daripada sukan Kurash iaitu 3 orang lelaki dan 3 orang wanita serta seorang atlet lelaki dari sukan Fin Swimming.


(Gambar fail)

"Mesyuarat juga telah meluluskan rayuan daripada sukan menembak (3 orang atlet lelaki,1 orang atlet wanita dan 1 orang pegawai) dan sukan terjun (2 orang atlet lelaki) untuk dinaikkan daripada Kategori B ke Kategori A, " katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM Kali Ke-4 Sesi 2021/2025, di sini.

Tambah beliau, mesyuarat tersebut juga bersetuju melantik Presiden Persekutuan Snooker Dan Billiards Malaysia, Melvin Chia dan Setiausaha Agung Persekutuan Gimnastik Malaysia, Afrita Ariany Nasril sebagai Timbalan Ketua Kontinjen untuk membantu Datuk Nur Azmi Ahmad.

Media Baharu