KUALA LUMPUR, 3 Mac- Malam esok pastinya menjadi saat yang amat dinanti-nantikan seluruh peminat bola sepak tanah air apabila Liga Malaysia musim 2022 akan bermula dengan perlawanan saingan Liga Super.
Bagi setiap pasukan yang bertanding, kehadiran penyokong ke stadium sudah tentu akan membangkitkan lagi semangat pemain.
Sehubungan itu, badan pengelola Liga M, Malaysian Football League-MFL tampil dengan beberapa pembaharuan dalam usaha mengembalikan semula kemeriahan arena bola sepak negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, bagi menarik lebih ramai penyokong hadir ke stadium, format Sepak Mula dengan tiga waktu berbeza iaitu pada pukul 7.30, 8.30 dan 9 malam perlu dilakukan.
Selain itu, ia juga dilihat dapat meningkatkan lagi saingan serta nilai komersial Liga M.
"Dengan adanya kick off time lebih awal bermakna juga demografik penonton yang hadir mungkin akan berubah....famili dan kanak-kanak akan lebih sempurna datang ke stadium disebabkan kick off pukul 9 akan ada kelewatan bila habis perlawanan," kata Stuart kepada pemberita RTM.
(Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam)
Jelasnya, perubahan ini juga akan memberi kemudahan kepada penonton di rumah.
Dalam masa sama, Stuart yakin, semua penyokong dan pasukan dapat menyesuaikan diri terhadap pembaharuan tersebut.
Bagi merancakkan lagi saingan tahun ini, MFL juga akan melaksanakan beberapa program digital tahun ini dan ia akan diumumkan tidak lama lagi.