LONDON, 3 Mac- Pemilik Chelsea, Roman Abramovich mengesahkan kelab tersebut akan dijual.
Berita mengejutkan itu diumumkan Abramovich malam tadi susulan serangan Russia ke atas Ukraine yang turut memberi tempias terhadap kehadirannya di England.
Atas dasar tanggungjawab dan cintanya terhadap kelab berkenaan, beliau juga sedia melupuskan hutang Chelsea dengannya sebanyak £1.5 bilion.
Beliau yang dikatakan rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, berkata, hasil jualan itu akan disumbang kepada mangsa perang di Ukraine.
(Abramovich bersorak dalam salah satu perlawanan Chelsea / foto REUTERS)
Bank Amerika Syarikat Raine Group, yang dilantik Abramovich untuk menguruskan penjualan kelab, dilapor menanti tawaran melebihi £3 bilion.
Setakat ini, jutawan Switzerland, Hansjorg Wyss dan orang terkaya Britain, Jim Racliffe dikatakan berminat membeli kelab London tersebut.
Mengambil alih Chelsea pada tahun 2003 dengan nilai £140 juta, Abramovich telah berjaya menjadikan The Blues sebagai antara pasukan yang digeruni di Eropah.
Sejak itu, Chelsea telah memenangi 21 trofi termasuk Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Liga Europa, Piala Dunia Kelab FIFA dan Piala FA. -REUTERS