GAMBAR HIASAN
BEIJING, 3 Mac- Atlet Rusia dan Belarus diberi lampu hijau untuk bersaing di Paralimpik Musim Sejuk yang akan memulakan aksinya minggu ini di tengah-tengah ketegangan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah menggesa persekutuan sukan di seluruh dunia untuk memberi pengecualian kepada atlet dari Rusia serta Belarus.
Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) mengadakan mesyuarat pada Rabu membuat keputusan dan menyiarkan kenyataan ringkas mengatakan atlet dari kedua-dua negara itu akan dibenarkan bertanding sebagai "neutral".
“Mereka akan bertanding di bawah bendera Paralimpik dan tidak termasuk dalam jadual pungutan pingat,” kata jawatankuasa itu.
(Atlet Rusia dan Belarus akan bertanding di bawah bendera Paralimpik)
Presiden IPC Andrew Parsons berkata ia adalah masa yang sukar untuk dunia dan pergerakan Paralimpik tetapi beliau menggesa pesaing untuk melayan "atlet neutral seperti mana-mana atlet lain".
"Tidak seperti kerajaan mereka, atlet dan pegawai ini bukan penceroboh," kata Parsons kepada pemberita di Beijing.
Beliau enggan menyatakan sama ada IPC akan mengambil tindakan terhadap mana-mana atlet yang membantah, dengan mengatakan ia akan bertindak mengikut kes dan jika ada aduan.
Sementara itu, Setiausaha Kebudayaan Britain Nadine Dorries tidak mengalu-alukan keputusan itu.
"Saya amat kecewa dengan IPC, ini adalah keputusan yang salah dan saya menyeru mereka untuk segera mempertimbangkannya semula," katanya di Twitter.
"Mereka (IPC) mesti menyertai seluruh dunia dalam mengutuk pencerobohan biadab ini dengan melarang atlet Rusia dan Belarus daripada bertanding."
Sebelum ini Paralimpik Australia juga telah memberikan sokongannya di sebalik larangan, mengatakan imereka menyertai institusi sukan yang semakin banyak menyokong langkah sedemikian.
Tetapi Parsons berkata keputusan IPC adalah hukuman paling keras yang boleh diambil dalam rangka peraturan mereka.
Beliau menambah bahawa keputusan itu tidak sebulat suara dalam jawatankuasa itu tetapi beliau tidak akan mendedahkan pecahan pengundian.
IPC akan menganjurkan perhimpunan agung luar biasa tahun ini untuk mengundi sama ada menjadikan pematuhan dengan Gencatan Senjata Olimpik sebagai keperluan keahlian atau menggantung serta menamatkan keahlian jawatankuasa Paralimpik Rusia dan Belarus.- AFP