KUALA LUMPUR, 27 Mac - Atlet lompat tinggi, Lee Hup Wei hari ini mengumumkan persaraannya dari sukan tersebut selepas 18 tahun menabur bakti dan mengerah tenaga demi negara tercinta.
Menyertai sukan lompat tinggi sejak berusia 17 tahun, beliau berkata persaraan tersebut bagi memberikan ruang kepada atlet muda baharu yang bakal menyinar sepertinya suatu hari nanti.
Menurut atlet berusia 35 tahun itu, perancangan seterusnya adalah menjadi jurulatih untuk atlet muda negara selain berhasrat untuk membuka akademinya sendiri dalam masa terdekat.
"Sudah (melibatkan diri) 18 tahun dengan (sukan lompat tinggi) ini, saya perlu bersara, berundur dari saya punya karier, saya sangat gembira dengan semua di sini, pasukan ini, saya bermula tahun 2004 dengan pasukan kebangsaan, mula dengan pasukan pelapis, sampai sekarang saya sudah masuk pasukan senior.
"Saya akan menjadi jurulatih, akan memohon untuk jadi jurulatih pasukan pelapis dan saya akan buka akademi saya secepat mungkin. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua penyokong Malaysia dan pihak media, yang sentiasa memberikan sokongan di belakang saya dan mendorong saya untuk berlatih dengan gigih, terima kasih banyak," kata beliau.
Tambahnya, sudah tiba masanya beliau menggalas tugas lebih besar iaitu melatih atlet muda sekali gus mampu mengikut jejaknya beraksi di Sukan Olimpik.
(Foto fail/REUTERS)
Pencapaian Hup Wei nyata tidak disangkal lagi dengan penyertaannya di pentas sukan antarabangsa seperti temasya Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan SEA, Sukan Komanwel dan kejohanan dunia.
Rekod terbaik Hup Wei sudah tentu apabila meraih empat pingat emas dan satu perak di Sukan SEA, satu pingat emas Kejohanan Asia selain turut mencipta sejarah sebagai atlet Malaysia pertama layak ke pentas akhir Kejohanan Olahraga Dunia 2019 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha, Qatar, dengan mencipta rekod peribadi 2.29 meter.
Selain itu, Hup Wei berjaya beraksi tiga kali di pentas Olimpik dengan kali terakhir adalah di Tokyo namun perjuangannya tamat seawal pusingan kelayakan selepas gagal melepasi ketinggian 2.17 meter.