KANGAR, 27 Mac - Hari terakhir Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia dimeriahkan dengan Karnival Seni Mempertahankan Diri Pencak Silat dan Muay Thai yang julung kalinya dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan penyertaan lebih 300 atlet.
Karnival ini melibatkan empat negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Perlis, Pulau Pinang dan Kedah sebagai salah satu persiapan menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) pada 29 September hingga 8 Oktober ini.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Dan Sosio Ekonomi Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Parang Abai @ Thomas, karnival ini melibatkan kerjasama antara Majlis Sukan Wilayah Persekutuan dan Majlis Sukan Negeri Perlis.
(Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Dan Sosio Ekonomi Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Parang Abai @ Thomas ketika ditemu bual media)
Sebanyak 9 kategori lelaki dan 5 kategori wanita dipertandingan bagi sukan Muay Thai, manakala 8 kategori Putera dan 5 kategori Puteri bagi Pencak Silat.
"Apa yang kita nampak, maklum balas daripada peserta-peserta yang terlibat dalam program ini, mereka masih kekurangan daripada segi persiapan terutamanya dari peralatan, kebanyakan persatuan-persatuan di negeri ini masih menghadapi banyak kekurangan dari segi peralatan untuk mempersiapkan pasukan masing-masing dalam mana-mana pertandingan, jadi perkara ini yang kita perlu lihat supaya kita boleh membantu setiap persatuan mahupun Muay Thai dan juga Pencak Silat di peringkat negeri," kata beliau yang ditemui media pada Majlis Penyampaian Hadiah Karnival Seni Mempertahankan Diri Pencak Silat dan Muay Thai di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini.
Pertandingan ini dilihat sebagai medan terbaik melahirkan lebih ramai bakat baru atau pelapis yang berbakat dan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat tertinggi.