(Penyanyi lagenda rock tanahair Datuk Ramli Sarip (kanan) dan Datuk Khatijah Ibrahim
menyanyikan lagu popular mereka 'Doa Buat Kekasih' ketika membuat persembahan
pada Muzika Ekstravaganza-Duo Hits di Angkasapuri malam tadi/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 5 Februari- Lebih banyak program bagi menonjolkan bakat seni tanah air akan dilaksana.
Ia dalam usaha merancakkan kembali industri hiburan yang terkesan akibat COVID-19.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, fokus tidak hanya tertumpu kepada pentas tempatan, malah platform global menerusi jalinan kerjasama antara negara.
Konsert Muzika Extravaganza 2023 yang dijayakan penggiat seni Malaysia dan Singapura malam tadi, penanda aras terbaik bagi usaha berkenaan.
"Sudah lama kita tidak saksikan program yang mantap dan cemerlang dengan bakat terbaik dari Singapura dan Malaysia.
"Dan saya rasa memang ramai yang akan rasa macam tidak cukup bila melihat persembahan Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Ramli Sarip, Datuk Francissca Peter dan bakat muda yang lain.
"Saya sangat teruja dan saya harap kita dapat usahakan lebih banyak program seperti ini," katanya.
(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bersama Menteri Komunikasi
dan Informasi Singapura, Josephine Teo (depan, dua kanan) ketika menghadiri
Muzika Ekstravaganza-Duo Hits di Angkasapuri malam tadi/BERNAMA)
Beliau ditemui selepas menyaksikan Konsert Muzika Extravaganza 2023 di Angkasapuri Kota Media.
Ia acara kemuncak sempena Edisi Keenam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama (JCM) Bidang Penerangan dan Komunikasi Malaysia-Singapura.
Mengangkat tema 'Duo Hits', Konsert Muzika Extravaganza tahun ini menampilkan penyanyi popular dari kedua-dua negara yang mendendangkan pelbagai genre lagu.