fb fb fb fb fb

Lagu raya tonjol semangat perpaduan Malaysia

Kumpulan Sai Naga Urumi Melam (kiri), Kumpulan Cine Dance dan Avantgardey

KUALA LUMPUR, 16 April- Sekumpulan belia India memeriahkan sambutan Hari Raya Aidlfitri dengan memainkan lagu 'Suasana Hari Raya' versi gendang tradisional India 'Urumi Melam'.

Lagu popular nyanyian Anuar Zain dan Ellina dipersembahkan kumpulan Sai Naga Urumi Melam itu mendapat lebih 260,000 tanda suka daripada pengguna media sosial.

Percubaan pertama itu berjaya menambat hati rakyat hati rakyat Malaysia hinggakan ada yang ingin menggunakan perkhidmatan mereka untuk majlis rumah terbuka.

Sementara menerusi satu lagi perkongsian di media sosial sama, lagu tular 'Alamak Raya Lagi!' nyanyian kumpulan De Fam turut mendapat perhatian.

Ia turut dijadikan muzik video oleh kumpulan Cine Dance dan tular di laman media sosial sekali gus menonjolkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut Pengasas Cine Dance, Thaneswari Rajenthiran lagu dan tarian dapat menghubungkan masyarakat pelbagai latar belakang sekali gus mengeratkan ikatan perpaduan.

"Menerusi visual seperti ini, kita dapat menikmati dan menghargai seni dan budaya lain, ini adalah salah satu contoh untuk menyatukan masyarakat,"katanya.

Menurut Thaneswari lagi, mereka sering menerbitkan muzik video dan kali ini memilih tema Hari Raya.

Mereka turut mendapat persetujuan pihak Muzium Negeri Sembilan sebagai lokasi penggambaran.

Selain memilih lagu tersebut atas faktor populariti semasa, kumpulan gadis berbangsa India itu juga merupakan peminat penyanyi asal lagu berkenaan.

Lagu 'Alamak Raya Lagi!' bukan sekadar menghiasi lagu latar bagi muzik video raya, malah turut menjadi ikutan negara luar seperti Indonesia, Korea dan Jepun.

Tidak terkecuali kumpulan penari wanita berasal dari Osaka, Jepun itu pernah menyertai Japan's Got Talent musim pertama iaitu Avantgardey. Kumpulan yang terdiri daripada 20 orang ahli itu pernah menyertai America's Got Talent tahun lalu.

Sebelum ia ditularkan di Malaysia, video berkenaan dikongsikan oleh Nona yang merupakan salah seorang ahli kumpulan penari itu menerusi akaun TikTok miliknya.

2004 CINE DANCE
Pengasas Cine Dance, Thaneswari Rajenthiran

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI