fb fb fb fb fb

Kostum wau terbesar, pereka busana RTM bawa Malaysia ke Las Vegas

Ratu Cantik Malaysia, P. Vanishaantini (kiri) dan pereka busana RTM, Saran Anak Lagong

KLANG, 31 Disember- Pereka Busana RTM, Saran Anak Lagong membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui kostum wau terbesar dalam pertandingan Mrs World 2023.

Pertandingan tersebut akan diadakan di Las Vegas, Amerika Syarikat pada Januari depan.

"Saya akan buat wau bulan paling besar memandangkan Malaysia berbilang masyarakat, lebih kepada masyarakat Kelantan selain saya memasukkan elemen negara Thailand. Ini kerana sebab wau bulan turut terkenal dalam kalangan Melayu Patani Thailand.

Saya akan bawa nama Malaysia ke Las Vegas dan itu adalah pengalaman manis buat diri saya," kata Saran kepada pemberita selepas majlis Mrs World 2023 - Malaysia Book Of Record, di sini.

Kostum bersaiz 3.8 meter tinggi dan 4.8 meter lebar itu berjaya dihasilkan dalam masa sebulan dan turut mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBR).

Busana itu dianggarkan seberat 10 kilogram, akan diperagakan oleh Ratu Cantik Malaysia, P. Vanishaantini dalam merebut gelaran "Best National Costume" pada pertandingan Mrs World 2023 itu nanti.

"Saya sangat bangga untuk memperaga busana ini sekali gus membawa nama Malaysia di Las Vegas, Januari nanti. Saya nak menampilkan keunikan dan kelainan daripada sebelum ini.

Ini adalah kali pertama buat diri saya dan saya berharap rakyat Malaysia dapat memberi sokongan dan dokongan kepada saya selaku wakil Malaysia," kata P. Vanishaantini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM