fb fb fb fb fb

Konsert ‘Majlis Tertinggi Rockqueen’, bawa misi kemanusiaan

Majlis Tertinggi Rockqueen, bakal berlangsung pada 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil

KUALA LUMPUR, 4 Disember - Ratu Rock negara, Ella, mencetus sensasi apabila mengumumkan penganjuran konsert mega terbaharunya bertajuk Majlis Tertinggi Rockqueen, yang bakal berlangsung pada 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Konsert berskala besar anjuran Hitman Solutions dan Rockqueen itu menandakan satu lagi detik penting dalam perjalanan seni legenda rock tanah air tersebut.

Mengangkat tema kemanusiaan Peace, Love & Rindu, konsert tersebut bukan sekadar persembahan muzik, tetapi membawa mesej perdamaian, kasih sayang dan penghargaan terhadap nilai-nilai kemanusiaan.

Ella berkata, pemilihan judul konsert bukan hanya menggambarkan gelarannya sebagai Ratu Rock, tetapi sebuah gerakan yang ingin meninggalkan impak lebih besar kepada masyarakat.

“Saya akan mencapai usia 60 pada tahun 2026, dan sudah tentu saya ingin memberi impak serta legasi berkekalan khususnya dalam aspek kemanusiaan. Majlis Tertinggi Rockqueen adalah terjemahan kepada sebuah gerakan yang mahukan ‘Peace, Love & Rindu’,” katanya.

Bagi memastikan lebih ramai peminat berpeluang hadir, penganjur menawarkan harga tiket mampu milik tanpa menjejaskan pengalaman persembahan serta kualiti audio visual.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, berkata setiap pembelian tiket akan disertakan undian bagi memilih tabung sumbangan mengikut tiga tema utama, iaitu Peace yang mewakili Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Love bagi Yayasan Kebajikan Negara, dan Rindu untuk Yayasan Kebajikan Artis Tanahair. Setiap undian tersebut akan diterjemahkan sebagai sumbangan RM2 kepada organisasi berkaitan.

Setiap undian pula membawa sumbangan RM2 kepada organisasi berkaitan.

Mengakui sudah lama tidak beraksi di pentas sebesar Stadium Nasional Bukit Jalil, Ella menyifatkan konsert berkenaan sebagai cabaran baharu yang menghidupkan semula semangat berkaryanya. Hampir empat dekad dalam industri muzik, katanya, telah membentuk ketabahan serta kecintaannya terhadap seni dan peminat.

Ella juga berharap agar konsert itu bukan sahaja berjaya dari segi hiburan, tetapi turut memberi manfaat kepada komuniti dan generasi akan datang.

“Harapan saya cuma agar konsert ini mampu memberi sumbangan sebaiknya kepada pertubuhan amal yang terlibat. Manakala generasi muda kelak lahir cemerlang dan berjaya, dan para seniman terus berkarya serta terbela,” katanya.

Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen dijangka menjadi antara acara muzik paling dinantikan pada 2026, sekali gus mengangkat semula aura Ella sebagai Ratu Rock tanah air.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE