KUALA LUMPUR, 5 Disember - Odeon KL, antara panggung wayang tertua dan paling ikonik di Malaysia sejak 1936, kini melalui transformasi besar apabila dijenamakan semula sebagai pusat seni persembahan profesional di tengah ibu kota.
Rockstation Event & Entertainment membawa visi untuk mengangkat Odeon KL sebagai hab acara merangkumi dewan konsert, ruang aktiviti, seni persembahan serta platform kebudayaan.
Projek penaiktarafan selama 10 tahun itu memperuntukkan RM6 juta bagi kerja-kerja pemuliharaan bangunan warisan, di samping dilengkapi kemudahan moden termasuk sistem bunyi dan akustik profesional, bilik persalinan artis, ruang logistik, kemudahan parkir, laman aktiviti komuniti serta surau untuk pengunjung. Pembangunan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2026.
Transformasi berkenaan bukan sahaja bertujuan mengangkat martabat seni persembahan tempatan, malah membuka peluang perniagaan baharu kepada usahawan Bumiputera serta menyumbang kepada perkembangan ekonomi setempat.
Seiring kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, pelbagai acara seni, budaya, muzik dan festival turut dirancang bagi menjadikan Odeon KL sebagai destinasi tumpuan pelancong di Kuala Lumpur.
Kumpulan rock popular, Barbarik dipilih sebagai artis pertama membuat persembahan di pentas Odeon KL yang telah dinaik taraf menerusi konsert bertajuk Pentas Barbarik: Live @ Odeon KL yang dijadual berlangsung pada 12 Disember 2025.
Barbarik yang dianggotai Jo Branko, Muss, Rozaimi dan Ainol dipilih bukan sahaja berdasarkan reputasi mereka dalam dunia muzik ‘keras’, malah keupayaan mereka menguji sistem bunyi, akustik serta kelengkapan teknikal baharu Odeon KL.
Kejayaan siri konsert Peluru Cokelat pada Jun lalu serta sokongan padu komuniti Rejim Barbarik turut mengukuhkan keputusan berkenaan.
Pengarah Urusan Rockstation, Mozylir Mokhtaruddin berkata, pihak penganjur berbesar hati dapat bekerjasama dengan Barbarik.
Menurut beliau, selepas menyaksikan aksi hebat kumpulan itu di Zepp KL serta sambutan luar biasa peminat sehingga tiket habis dijual, pihaknya berharap kolaborasi tersebut dapat diteruskan pada masa hadapan.
Konsert pembukaan itu dijangka dihadiri sekitar 2,500 peminat pada malam bersejarah berkenaan, sekali gus menandakan lembaran baharu dalam sejarah hampir satu abad Odeon KL sebagai pusat seni, muzik dan budaya di ibu kota.
