fb fb fb fb fb

Legenda Cik Siti Wan Kembang diangkat dalam teater muzikal berskala besar

Rektor ASWARA, Prof. Dr. Tan Awang Besar

KUALA LUMPUR, 3 Disember – Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan kerjasama Persatuan Alumni ASWARA bakal mementaskan Teater Muzikal Paduka Cik Siti pada 19 hingga 21 Disember ini di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.

Muzikal ini mengangkat kisah Cik Siti Wan Kembang, raja wanita Melayu yang terkenal dengan keberanian dan kebijaksanaannya dalam memimpin negeri, sambil berdepan tekanan politik, cabaran pentadbiran dan konflik peribadi.

Rektor ASWARA, Prof. Dr. Tan Awang Besar berkata, pementasan itu bukan sahaja mengangkat kecemerlangan budaya, malah memainkan peranan penting dalam memelihara dan memartabatkan khazanah manuskrip serta karya agung negara.

“Usaha ini ada kaitan langsung dengan usaha memulihara dan memelihara khazanah warisan, sejajar dengan teras dasar kebudayaan negara,” katanya pada sidang media Teater Muzikal Paduka Cik Siti hari ini.

Di bawah arahan Che Kem, naskhah muzikal ini menampilkan gabungan lakonan, muzik, tarian dan visual pentas berskala besar, dengan barisan pelakon termasuk Asmidar, Tagim Zaki, Dr. Norzizi Zulkifli, Shahrul Mizad, Nesa Idrus, Serra Kamal dan Zizi Hazirah.

Produksi ini merupakan usaha kolaboratif alumni, pensyarah dan pelajar ASWARA, dan dijangka menyajikan pementasan beremosi, berimpak tinggi serta memartabatkan warisan sejarah negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai pementasan tersebut, orang ramai boleh mengikuti semua platform media sosial rasmi ASWARA.

AZRUL FAIZAL JUSOH