KUALA LUMPUR, 22 Disember- Buat julung kalinya, lagenda rock Malaysia, Datuk Awie, akan membuat kemunculan epik dalam sebuah konsert bersejarah iaitu TRIAD di mana beliau akan tampil sebagai penyanyi utama untuk tiga kumpulan rock ikonik: Wings, Search Kid Din dan Dragon Malaya yang kini dianggotai Lan Taro, Eddie Def Gab C, dan Pae.
Ditubuhkan pada tahun 1998, Dragon Malaya merupakan kumpulan pengiring untuk persembahan-persembahan solo Dato’ Awie, termasuk projek album solo beliau, Rentap, dengan lagu ikonik seperti Kuda Tiga Kaki dan Bumi Kita Ada Naga.
Konsert yang dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah itu akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 14 Februari 2025 pukul 8.30 malam.
Konsert tersebut bukan sahaja bakal melakar sejarah, tetapi juga bakal mencipta nama dalam The Malaysian Book of Records, apabila seorang penyanyi utama mengemudi tiga kumpulan rock besar di satu pentas.
Datuk Awie bakal membawa para peminat menyelami kembali semangat rock dengan seleksi lagu-lagu nostalgia yang tidak pernah pudar daripada ingatan.
"TRIAD adalah tentang penyatuan atau menyatukan bunyi, tenaga, jiwa, dan semangat rock yang sebenar. Ini bukan sekadar konsert, tetapi satu malam di mana sejarah akan tercipta, dan semangat ROCK akan terus hidup.
"Alhamdulillah, ianya akan berlangsung nanti. Saya teruja untuk bersama-sama para penyokong dan rakan-rakan lagenda yang lain di atas pentas yang luar biasa ini,” kata Datuk Awie.
Datuk Awie berkata, konsert tersebut merupakan satu impian jadi kenyataan di mana ianya juga bakal mencatat nama dalam The Malaysian Book of Records. Menggabungkan tiga band ikonik dan seorang penyanyi bukan satu tugas yang mudah.
“Ia memerlukan doa, fokus, dedikasi, dan komitmen untuk memastikan kesihatan serta stamina berada di tahap maksima. Semua ini perlu diperhatikan demi memberikan persembahan terbaik untuk para penyokong seni tanah air,” tambah beliau lagi.
Konsert TRIAD adalah simbolik kepada kesatuan dan kehebatan muzik rock Malaysia. Gabungan unik ini bukan sahaja bakal menggegarkan malam anda tetapi juga menjadi momen penting dalam sejarah muzik tanah air.
Tiket untuk konsert TRIAD sudah mula dijual 7 Disember lalu dan boleh didapati secara dalam talian menerusi laman web https://rpm.ubertickets.asia/